Pesan seorang Guru :

"Jika sekadar sampai pada kulit sahaja tanpa "roh" silat yang sejati ia tidak layak menerima warisan pusaka. Jika diterima juga ia dianggap perampas kerana tidak mempunyai peribadi amanah. Bila sudah ada amanah dan peribadi keimanan yang sejati barulah ia layak menjadi GURU. Jika tidak maka guru itu ibarat kencing berdiri, murid kencing berlari. Pelajar dengan guru demikian bermakna seseorang itu akan menjadi bertambah jahat, bongkak dan sombong. Sebaliknya guru yang sebenar guru (murshid) mempunyai telatah dan peribadi yang tinggi, boleh memimpin ke jalan yang diredhai Allah".

Thursday, September 30, 2010

Syahadah Guru Silat Cekak Malaysia (PSSCM)

Sejak berzaman, Seni Silat Cekak Malaysia (atau nama lainnya : silat papan sekeping) iaitu seni silat Melayu asli amat dihormati oleh masyarakat Melayu umumnya. Seni silat yang bersalalisah dari seorang hulubalang Melayu, panglima kanan negeri Kedah pada hampir 200 tahun yang lalu.

Pada tahun 1965 silat cekak ini telah diusahakan oleh Almarhum Ustaz Hanafi, anak jati Melayu Kedah melahirkan kembali silat cekak setelah berguru dengan Yahya Said agar silat ini dapat dipelajari oleh anak bangsa sehinggalah berkembang ke seluruh Tanah Air dan dewasa ini telah pun dipelajari oleh ribuan anak Melayu, khususnya di Pusat Pegajian Tinggi.

Seni silat cekak yang mempunyai gerak bentuk perbuatan sembahyang seperti doa, kiam, rukuk dan takbir dalam kaedah asas pertahanan diri dan disertakan buah-buah pakaian guru silat Melayu asli seperti keputusan sendeng, gayung fatani, terlak, lintau dsb.... Memanglah dipandang serasi apabila silat cekak ini diterajui oleh seorang guru utama yang bertaraf ustaz dan anak Melayu jati seperti Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad dan seterusnya penganti beliau Tn Hj Ishak Itam yang mempunyai banyak pengelaman dalam seni silat Melayu serta berpendidikan agama dari guru-guru pondok.

Menyelusuri sejarah, silat ini yang asalnya diketahui setakat dibawa oleh Panglima Ismail di waktu kerajaan Kedah diperintah oleh Sultan Ahmad Tajuddin II (1803~1843) dan kemudiannya dibawa oleh Panglima Tok Rashid, seterusnya diperturunkan kepada Yahya Said.

Hakikatnya, dari Yahya Said silat ini telah bercabang kepada beberapa kumpulan yang membawa pergerakan silat yang hampir sama atas nama yang berbeza seperti silat cekak dan silat kalimah.

Apa pun, persimpangan jalan silat yang asal dari Panglima Ismail ini tidak begitu sangat dihebohkan sebagai masalah bangsa Melayu kerana kesemua kumpulan silat-silat ini masih mengekalkan kelestarian adab budaya Melayu kerana penerajunya masih seorang Melayu jati sebagai guru, sebagai pembawa amanah keilmuan dan peradaban seni silat Melayu yang benar-benar asli.

Malangnya hari ini, silat cekak yang bergerak melalui Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) telah menodai sejarah perguruannya, tercemar maruah seni bangsanya dan telah rosak keaslian seni silat Melayu yang benar-benar asli. Ini adalah kerana kegelojohan yang bersungguh-sungguh oleh Jawatankuasa Pusat PSSCM serta sejumlah besar ahlinya mengangkat seorang guru utama yang baru, seorang yang berbangsa Hindu tulin.

Hari ini, sebahagian besar ahli-ahli PSSCM merasa gah mempunyai seorang guru utama yang bukan asal Melayu jati menerajui seni silat Melayu asli atas dasar perjuangan Islam kononnya dengan falasafah agar melegakan hati-hati mereka sendiri bahawa;

'Perjuangan Islam tidak memilih bulu untuk menjadi pemimpinnya, tidak memilih bangsa sebagai ukurannya'.

Tanpa sedar bahawa mereka telah mencanangkan bahawa silat Melayu asli ini bukan lagi hak bangsa Melayu tetapi hak semua bangsa asalkan Islam.

Mereka terus-terus bangga atas pilihan mereka itu kerana guru mereka seorang yang terbukti berjaya dalam hidup, memiliki rumah besar, kereta besar, mendampingi dengan pak menteri, berpangkat datuk bergelar Datuk Hj Maiden Kadir Shah, biarpun nama yang tertera di dalam kad pengenalan diri sebenarnya Saithu Maideen bin Katharisa (rujuk di web JPN http://www.jpn.gov.my/semakic/ no i.c. 570718106539) dan dalam surat beranak asal tercatat sebagai Saithu Maideen a/l Katharisa.

Pada peringkat awal pabila guru baru ini dilantik melalui Mesyuarat Agung Luarbiasa pada 31 Oktober 2009, segelintir ahli-ahli yang dianggap pengkhianat oleh PSSCM, merasakan pelantikan ini merupakan satu peristiwa yang amat pelik telah berlaku dalam sejarah seni silat Melayu yang bersalisilah kepada Panglima Melayu yang berhubungkait pula dengan Kerajaan Melayu Kedah yang berusia hampir ribuan tahun tamadun dan peradabannya.

Apatah lagi apabila melihat zaman Panglima Ismail adalah zaman berlakunya peperangan ‘musuh bisik’, satu peperangan jihad anak-anak Melayu Kedah dengan bantuan angkatan dari seluruh nusantara dipimpin oleh hulubalang dan ulamak seperti Sheikh Samad Palembang, Sheikh Daud Fatani, Sheikh Masudi Banjar, Pahlawan Tok Moris, Panglima Taib Itam, dsb… Bersatu mempertahankan bumi Melayu agar tidak dijajah oleh angkatan Thai yang rakus, agar kekal bumi Melayu ini sebagai Tanah Air yang mendaulatkan Islam sehinggalah ke akhir zaman hendaknya.

PSSCM terus-terusan menjaja bahawa guru baru ini adalah layak dan benar atas dalil yang sama iaitu bahawa;

‘PSSCM membawa perjuangan Islam, perjuangan yang sama dengan Rasullullah, maka tak kiralah bangsa apa yang jadi gurunya asalkan dia itu Islam’.

Lagi sekali mereka terlalu angkuh seolah menyatakan bahawa guru mereka adalah di antara ribuan ahli PSSCM yang sebenar-benar Islam melebihi keilmuan agama yang ada pada semua ahli PSSCM yang lainnya.

Maka berlakulah satu pendedahan melalui audio rakaman yang dibongkarkan setelah beberapa bulan guru baru ini melaksanakan ijazah silat pertamanya pada 22hb Julai 2009 di Pusat Latihan Kuang, Selangor. Audio ini membongkar 3 perkara penting ;

1. Guru ini berbohong bahawa dia tidak pernak belajar cara-cara melakukan pengijazahan dan apa yang akan dia cakap pada malam itu 'datangnya dari Allah semata-mata'.

2. Syahadah guru ini amat lain sekali dari syahadah yg dilafaskan oleh umat Islam seluruh dunia sejak dari zaman dahulu sehinggalah sekarang.

3. Memperlecehkan silat Melayu lain : silat kalimah

[sila dengar audio di bawah]


Syahadah kelainan yang dibawa oleh guru ini adalah kemungkinan awal petunjuk dari Allah swt bahawa guru PSSCM sekarang ini bukan saja tidak layak membawa amanah bangsa Melayu malah tidak layak menjadi pemimpin Islam seperti PSSCM war-warkan.

[sila lihat rakaman video di bawah]


Maka atas isu syahadah ini lah, beberapa tenaga pengajar silat cekak yang bertanggungjawab terhadap ahli-ahli telah menulis surat secara rasmi ke AJK Pusat bertanyakan hal syahadah guru itu. Mereka ini dibalas dengan penggantungan jawatan dan malah PSSCM turut membubarkan cawangan yang mempertikaikan syahadah guru ini.

Pada ketika yang lain pula, apabila soalan terbuka ditanyakan kenapa guru mereka ini bersyahadah demikian, maka jawapan selamat PSSCM adalah alasan ‘telo’ kerana lidah guru mereka itu adalah lidah seorang hindu. Lalu untuk menguatkan kenyataan bahawa guru mereka ini benar mempunyai pengetahuan agama, PSSCM mengeluarkan latarbelakang pengajian guru ini seperti ;

‘selain berguru dengan Almarhum Ustaz hanafi dan Hj Ishak Itam, Datuk juga telah berguru dengan ramai guru-guru lain dalam bidang agama dan al-Quran seperti Tuan Syed Harun secara formal dalam bidang al-Quran. Pada tahun 1997 semasa usia 40 tahun, beliau telah mendalami ilmu al-Quran dengan Tuan Syed Mustaffa bin Syed Othman, Imam Masjid Damai Datuk Keramat selama 2 tahun sehingga khatam’.

Namun latarbelakang pengajian guru ini turut tidak menyakinkan alasan syahadah ‘telo’ kerana mana mungkin seseorang yang yang telah mendalami ilmu al-Quran sehingga khatam masih tidak dapat menyebut syahadah dengan betul mengikut ilmu al-Quran.

[sila lihat rakaman video]


Guru ini sendiri akhirnya cuba membuktikan bahawa dia lah guru yang benar kerana mejoriti ahli-ahli PSSCM telah menerimanya dan pegangan ini dikuatkan pula dengan kenyataan dari guru ini bahawa;

‘Tuhan dan Rasul pun suruh ikut yang ramai’.

Tidak cukup dengan kenyataan itu mempertahankan kebenaran sebagai guru silat cekak yang baru, maka terbitlah pula kenyataan dari penyokongnya bahawa;

‘Sapa-sapa di kalangan ahli silat Cekak Malaysia yang tak terima Datuk Hj Maideen sebagai guru utama PSSCM maka neraka lah balasan mereka

Sungguh menyedihkan, kemurnian peradaban Melayu yang di bawa bersama silat ini telah punah ranah akibat segelitir ahli-ahli silat cuba mempertahankan guru mereka yang bukan Melayu menerajui silat Melayu asli dengan alasan hakikatnya perjuangan Islam yg membenarkan apa bangsa pun sebagai pemimpin utama telah ditempelak dengan syahadah yang pelik. Namun tetap mereka mahu mempertahankannya dan berasa mereka lah di landasan yang betul dan merasakan juga telah berada di pihak yang menang hanya kerana sejumlah besar ahli-ahli PSSCM menyokong mereka.

Tanpa turut mahu meghiraukan akan tercalar aqidah dan rosak adab Melayu ini PSSCM berkeras hati mempertahankan guru mereka biarpun seluruh umat Melayu kuatir. PSSCM merasakan silat adalah hak mereka sendiri tanpa mengambil kira temadun dan ketuanan Melayu. Bagi mereka apa pun tindakan dan sifat guru mereka ini mengatasi peradaban Bangsa Melayu biar pun kutukan dihalakan kepada silat Melayu yang lain.

[perhatikan video ini dari mula sehingga sepenuhnya]


Satu penghinaan oleh guru mereka ini terhadap silat Melayu yang lainnya.

Mungkin sudah sampai masanya seluruh umat Melayu sedar terutamanya yang mewarisi seni hulubalang Melayu, bangkit dari lena yang panjang bahawa kita terlalu membiarkan kepentingan orang-orang tertentu bermaharaja lela dan sentiasa menang melalui system mejoriti sehinggakan adab, budaya dan minda kita kekal terjajah. Hanya atas kerana ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’.

Kemeluk dalam PSSCM, guru silat Melayu asli yang bukannya seorang Melayu, lafas syahadah yang pelik dalam majlis pengijazahan dari pemimpin yang kononnya tokoh agama berilmu tinggi, dan cacian terhadap silat Melayu dari guru PSSCM ini bukan lah sebenarnya masalah dalaman PSSCM lagi.

Ini sudah harus diselesaikan bersama oleh seluruh umat Melayu dan Islam terutamanya masyarakat silat Melayu yang asli di seluruh peringkat dan wilayah dari benua Melayu.

Moga-moga seni silat yang dilahirkan di bumi Melayu ini kekal sebagai hak mutlak bangsa Melayu, sebagai pewarisnya dan mempertahankan Islam sebagai salah satu hakikatnya, dianugerahkan kepada bangsa kita oleh Allah swt.


Amin.


NOTA:

1. sila lihat juga perbincangan isu syahadah di blog suarajagat

2. kisah guru ini kencing berdiri boleh diikuti di blog sapahabaq



Saturday, July 10, 2010

Guru – Adab dan Batasannya

(dipetik keseluruhannya dari blog suarajagat)

Guru, cikgu, ustaz, ustazah, pensyarah…dan beberapa panggilan sinonim lain yang semuanya menjurus kepada warga pendidik atau tenaga pengajar. Jasa dan bakti mereka tidak dapat kita nafikan. Mengimbas zaman persekolahan, saya masih terkenang kemesraan para cikgu yang senantiasa memberi dorongan dan tunjuk ajar tanpa mengira jemu. Sehingga hari ini adakalanya penulis mencari mereka – setidak-tidaknya untuk bertemu, bertanya khabar dan untuk mereka melihat insan yang pernah di didik. Mengagumkan penulis bila ramai di kalangan mereka mengingati nama saya walhal penulis sendiri kerap terlupa akan nama mereka.

Memasuki alam universiti dan seterusnya bekerja, penulis banyak meluangkan masa dengan para ustaz dan pensyarah agama. Pastinya ini menambahkan lagi minat dan kefahaman saya dalam urusan agama dan dakwah. Akhlak para ustaz ini secara tidak langsung sedikit sebanyak membentuk peribadi saya. Dalam penulisan ini, penulis akan memberi beberapa point berkaitan akhlak yang wajar ada pada seorang guru, tenaga pengajar, pendidik dan da’ei (pendakwah). Tidak ketinggalan juga akan adab dan akhlak murid/ pelajar serta batasannya.

Sidang pembaca sekalian,

Terdapat beberapa sikap dan akhlak yang perlu ada pada seorang guru. Akhlak yang paling utama ingin ditegaskan oleh penulis ialah sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatona. Sifat akhlak Rasulullah s.a.w ini amat penting untuk dihayati. Dalam memberi tunjuk ajar, ada ketikanya terdapat perkara yang di luar batas ilmu kita, oleh itu jika seorang guru tidak tahu akan jawapannya, usah sesekali‘menghentam' jawapan. Perlakuan sebegini akan merosakkan pelajar, membuka kepada keegoan diri sendiri dan boleh membawa kepada syirik. Perlu diingat bahawa tidak ada seorang guru pun di dunia ini yang mengetahui semua perkara. Adalah amat penting untuk seorang guru bersikap merendah diri, ikhlas dalam memberi ilmu dan bersikap adil terhadap pelajarnya.

Seorang yang digelar guru dan merasakan dirinya alim atau berlakon seolah-olah alim atau bermegah dengan gelarannya tidak boleh dianggap sebagai ‘sebenar-benar guru’ kerana sifat riak dan takbur amat berlawanan dengan sifat ikhlas, siddiq dan amanah. Selain itu, sebenar-benar guru juga mestilah menjadi contoh kepada muridnya dan tidak diragui atau dipertikai akan perlakuannya.

Guru juga mestilah menepati masa, tidak menyeleweng dan menentukan batas kefahaman pelajarnya. Ajarlah dengan cara yang mudah difahami oleh pelajar/ murid. Jadikan mereka insan yang berguna dan berperibadi mulia.

Seorang pelajar pula hendaklah sentiasa menghormati guru kerana guru adalah insan yang penting selepas ibu dan bapa. Antara adab/akhlak berguru ialah :-

  • memberi salam kepada guru.
  • bercakap dengan sopan.
  • berpakaian bersih.
  • berlapang dada menerima teguran.
  • mengucapkan terima kasih.
  • berdoa untuk gurunya.

Dalam pada itu, menghormati guru ini ada juga batasannya. Janganlah menghormati secara membuta tuli sehingga arahan/suruhan yang bertentangan dengan syariat diikuti. Terdapat ramai guru ajaran sesat terutama mempergunakan nama tarekat yang seringkali menyuruh muridnya melakukan perbuatan tercela sehinggakan perbuatan maksiat menyerahkan kehormatan diri kepada guru di anggap satu penyucian dosa. Perkara sebegini amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Adab berguru pasti ada hikmahnya. Namun batasannya jangan pula dilupakan. Akhir bicara, SJ mengucapkan Selamat Hari Guru khususnya buat guru-guru yang telah mendidik dan memberi ingat serta nasihat buat diri ini. Terima kasih cikgu. Jasa dan pengorbanan kalian menjadikan diriku insan berguna. Tidak lupa buat semua kenalan, kawan dan sahabat di alam perguruan. Tahniah!!

Sunday, May 16, 2010

Syarat dan Adab kunci kejayaan

Syarat serta adab yang akan disebutkan ini adalah petikan daripada kalam Ibnu 'Ajibah di dalam kitabnya Al-Futuhat Al-Ilahiyah Fi Syarh Al-Mabahith Al-Asliyah. Kitab dalam ilmu Tasawwuf yang sedang saya pelajari dengan guru kami, Al-Syeikh Dr. Muhammad Muhanna (hafizahullahu ta'ala) di anjung Atrak Masjid Al-Azhar. Syarat serta adab yang disebutkan oleh Ibnu 'Ajibah sangat menarik dan menyentuh hati, kalimah yang digunakan sangat halus dan teliti.

Telah berkata murabbi, guru kami Al-Syeikh Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani :

"Kalam auliya' Allah adalah kalam yang mempunyai nur yang Allah ilhamkan ke dalam hati hambaNya yang dikasihi."


Pada dasarnya syarat dan adab yang disebutkan itu adalah bagi seorang al-faqer atau al-sufi (seorang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah S.W.T), namun saya adaptasikan syarat dan adab seorang sufi kepada syarat dan adab seorang tolibul ilmi kerana matlamat kedua-duannya adalah sama iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah (mardhatillah) mengharapkan cahaya hidayah Allah yang dapat menerangi kegelapan hati. Sebagaimana terdapat ungkapan syair arab :

فإذا لم يعنك الله فيما تريده # فليس لمخلوق إليه سبيل
وإن هو لم يرشدك في كل مسلك # ضللت ولو أن السماك دليل
Maksudnya :

Sekiranya Allah tidak memberi inayahNya (bantuan) terhadap apa yang kamu inginkan # Maka tidak akan ada jalan untuk sampai kepada apa yang dihajatinya
Sekiranya Allah tidak memandu kamu pada setiap langkah yang diatur #
Nescaya akan sesat sekalipun kamu jadikan langit sebagai petunjuk

Oleh yang demikian, bagi memperolehi inayah dan irsyad daripada Allah S.W.T tidak dapat tidak bagi seorang penuntut ilmu itu memperlengkapkan dirinya dengan syarat-syarat serta adab-adab ilmu sebagai sebab kelayakan untuk beroleh kejayaan tersebut.

Lapan syarat bagi seorang penuntut ilmu :

1. Niat yang sahih : قصد صحيح


Seorang penuntut ilmu haruslah meletakkan niat yang betul dan sahih iaitu semata-mata kerana Allah taala serta berusaha untuk mewujudkan ruh keikhlasan di dalam amalan sebagaimana kata-kata Al-Syeikh Ibnu 'Atoillah Al-Sakandari dalam kitabnya Al-Hikam :

الأعمال صور قائمة وأرواحها وجود سر الإخلاص فيها

Maksudnya : "Sesuatu amalan itu adalah merupakan gambaran kerangka luar, adapun ruhnya ialah wujudnya rahsia keikhlasan di dalam amalan tersebut."

Oleh itu, seorang penuntut ilmu itu mestilah berusaha untuk mewujudkan rahsia keikhlasan di dalam dirinya, namun apakah tanda seseorang itu ikhlas dalam amalannya? Soalan yang pernah saya ajukan kepada murabbi serta guru tariqat kami (Al-Tariqat Al-Siddiqiyyah Al-Syazuliyah), iaitu Maulana Al-Syeikh Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani (Hafizahullahu Taala) sewaktu bermusafir bersama beliau ke Humaitharah menziarahi maqam Al-Syeikh Abu Hassan Al-Syazuli. Beliau menjawab :

"Tanda seseorang itu ikhlas dalam amalannya ialah sentiasa istiqamah dalam melakukan amalan serta sentiasa merasakan diri serba kekurangan ketika melakukan amalan tersebut."


2. Keyakinan yang jelas : صدق صريح

Tolibul ilmi hendaklah meyakini bahawa bidang yang diceburinya adalah merupakan sebahagian daripada pilihan dan ketetapan Allah S.W.T yang tidak patut dipersiakan bahkan menyakini akan kelebihan dan ganjaran terhadap penuntut ilmu yang ikhlas sebagaimana hadis S.A.W yang dikeluarkan oleh Imam Al-Tirmizi dalam kitab Jamie'nya daripada Abu Hurairah R.A :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ

Maksudnya : "Rasulullah S.A.W telah bersabda : Barangsiapa yang menjejak kakinya ke jalan semata-mata untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan jalan baginya untuk sampai ke syurga."


3. Memiliki Adab yang diredhai : آداب مرضية

Menjadi kewajipan bagi penuntut ilmu untuk menghiasai diri dengan adab yang diredhai oleh Allah dan RasulNya sama ada terhadap ilmu mahu pun terhadap guru, rakan-rakan serta orang lain serta diri sendiri. Telah berkata guru kami Al-Syeikh Dr. Muhammad Muhanna sewaktu mensyarahkan kitab Al-Futuhat Al-Ilahiyah karangan Ibnu 'Ajibah ini :


"Adab merupakan kunci, barangsiapa yang tidak memiliki adab maka tidak dapat untuk memasuki melalui pintu untuk sampai kepada Allah S.W.T"


Kadang kala ramai di kalangan penuntut ilmu tidak mengambil berat tentang persoalan adab seolah-olah ianya adalah perkara kecil. Bukankah baginda nabi Muhammad S.A.W diutuskan bagi menyempurnakan akhlak?

عن أبى هريرة رضى الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ( انما بعثت لاتمم مكارم الاخلاق
أخرجه البيهقي في السنن الكبري

Maksudnya : "Daripada Abi Hurairah R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda : Sesungguhnya aku diutuskan (oleh Allah S.W.T) bagi menyempurnakan akhlak."

4. Memiliki perihal yang baik : أحوال زكية

Di samping itu, seorang penuntut ilmu itu hendaklah menghiasi dirinya dengan perihal yang baik bertepatan dengan syariat Islam agar tidak menzalimi diri sendiri serta orang lain. Maka penuntut ilmu haruslah berusaha untuk memperbaiki perihalnya daripada baik kepada yang lebih baik melalui jalan mujahadah kerana kita tidak terlepas daripada godaan syaitan dan nafsu. Kadang kala Iman kita bertambah dengan perkara ketaatan dan kadang kala akan berkurangan dengan perkara maksiat yang dilakukan.


Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Tahrim ayat 6 :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

Maksudnya : "Wahai orang yang beriman!Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala)..."

Insyallah bersambung akan datang...



Artikel ini dipetik dari blog ustaz Juzaili bin Juhan, Pengerusi Fellow MANHAL PMRAM http://elmansyud.blogspot.com/

Thursday, May 6, 2010

Taat dan Kasih kepada Guru

mohon petik dari : http://k9999a.blogspot.com


Bismillahirrahmanirrahim... Alhamdulillahi robbil 'alamin...

Di awal-awal pagi ni sebelum berdau tiba-tiba ada pulak idea nak menulis. Perkara ni sebenarnya dah agak lama berlegar dalam kepala. Cuma tunggu masa saja nak keluar. Macam orang kata jadi dulu sebelum lahir.

Taat kepada guru membawa berkat
Sedikit belajar banyak yang dapat
Jika derhaka menjadi mudarat
Semua ilmu tiada yang lekat

Sememangnya sebagai murid kita wajib mentaati segala perintah dan tunjuk ajar seorang guru. Pada seorang guru Allah kurniakan berkat. Yang mana dengan berkat itulah seorang guru lebih daripada murid. Sebagaimana makanan yang halal itu berkat berbanding makanan haram.

Seorang guru yang benar dan sampai wajib ditaati demi menyampaikan kita kepada tujuan hidup sebenar. Gurulah yang akan menunjuk jalan dan membetulkan segala kesilapan kita. Sebelum berguru kita perlulah mengetahui sedikit sebanyak ciri-ciri seorang guru yang sebenar.

Sebenar guru ada hakikat
Dikuat pula amalan syariat
Ditambah dengan ilmu makrifat
Berpakaian pula dengan isyarat

Guru yang sebenar bersifat siddiq. Serendah-rendah guru mesti mempunyai sifat siddiq ini barulah boleh bergelar guru. Kalaulah tiada siddiq maka kita sama sekali tidak boleh menerimanya sebagai guru. Guru yang tiada siddiq akan menyeleweng, membawa ajaran yang salah, menyembnyikan ilmu yang benar dan seumpamanya.

Apabila telah kita ketahui sedikit sebanyak berkenaan guru itu maka bolehlah kita berguru kepadanya bergantung kepada tahap ilm tersebut. Namun usahlah dipertikaikan sangat perihal sampai atau tidaknya guru. Sebagai seorang penuntut mana mungkin kita dapat menilai tahap ilmu seseorang guru itu. Maka belajarlah dahulu sehingga tahap tertentu. Kita sendiri akan dapat menilai tahap guru tersebut apabila tiba masanya dengan izin Allah jua.


Taksub kepada Guru

Ramai juga kalangan yang berguru akhirnya akan bersifat keterlaluan. Terlalu mengagungkan guru sehingga ke tahap penghormatan yang keterlaluan dan tidak wajar. Seorang guru tetap manusia biasa seperti kita juga. Tidak lepas daripada membuat kesalahan dan tidak maksum. Hanya nabi dan rasul yang maksum. Bahkan para nabi juga ada membuat kesilapan. Namun diampunkan Allah kerana ianya sebagai pengajaran bagi kita umat terkemudian.

Janganlah sesekali menyembah guru. Pernah terjadi di depan mata saya sendiri, seorang murid sehingga mencium kaki gurunya. Pada saya perbuatan ini amat tidak wajar dan telah menghina gurunya sendiri secara tidak sedar. Ingatlah guru bukan Tuhan yang boleh disembah.

Kelebihan seorang guru hanyalah pada ketinggian ilmunya. Sememangnya kita diperintahkan Allah dan Rasul supaya menhormati dan menyayangi orang-orang berilmu namun bukan sampai ke tahap menyembah atau taksub keterlaluan......

ikuti seterusnya di blog asal : http://k9999a.blogspot.com/2009/03/taat-dan-kasih-kepada-guru.html

Monday, May 3, 2010

adab berguru

ORANG Melayu dahulu begitu menekankan ajaran adab berguru, supaya anak taat dan beradab kepada guru serta orang yang lebih tua daripadanya.

Ini jelas terbayang dalam ungkapan berikut:

Kalau anak muda hendak menakah, ikutlah petunjuk ingatlah amanah,

Kalau anak muda ingin terbilang, ingat-ingatlah nasihat orang

Kalau anak muda ingin terpuji, duduk berguru tegak mengaji

Kalau anak muda ingin terpandang, menuntut ilmu jangan kepalang

Kalau anak muda ingin terhormat, tekun belajar luruskan niat

Kedudukan seorang guru dianggap mulia sehinggakan ibu bapa pasrah dan rela guru memukul anak mereka, asalkan anak mereka berupaya meraih manfaat ilmu daripada guru.

Adab berguru dahulu, semasa permulaan mahu mendapatkan khidmat guru, ibu bapa akan memberi semacam 'hadiah' kepada guru sebagai syarat.

Sebagai contoh, ada hadiah berbentuk kain atau pakaian dan ada juga yang memberi hadiah Al-Quran dan rotan.

Ada juga yang memasakkan pulut kuning dan ayam jantan.

Biasanya isi ayam jantan akan dimakan oleh murid di hadapan guru. Rasionalnya, seorang guru dapat 'membaca' isi hati, niat dan perilaku bakal muridnya, hanya dengan melihat cara murid itu makan.

Ada juga adab berguru dalam perguruan silat yang memberi 'hadiah' kepada guru hanya selepas tamat berguru.

Apa pun hadiah yang diberikan adalah sebagai syarat menyatakan keikhlasan dan keredaan ibu bapa yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada guru.

Guru adalah orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu.

Seorang guru adalah manusia yang berilmu, berfikiran jauh, matang dan menggunakan kepakarannya untuk membimbing orang lain. Perkataan 'guru' diambil daripada perkataan Sanskrit. 'gu' bererti 'kegelapan' dan 'ru' pula bererti 'cahaya'.

Justeru tugas guru adalah untuk 'menerangkan kekaburan' pelajarnya.

Tugas guru sebagai penyuluh jalan yang gelap, haruslah membimbing pelajar yang tidak faham dan tidak tahu, supaya tahu dan faham.

Elok parang kerana berhulu

Elok hulu kerana tergenggam

Elok orang kerana berilmu

Elok ilmu kerana berfaham

Ada pujangga yang mengatakan, 'ilmu itu di mulut guru'.

Frasa ini memberi maksud bahawa guru tetap 'relevan' dalam proses menuntut ilmu.

Menuntut ilmu tanpa guru pula boleh menyebabkan seseorang itu menjadi hilang pedoman sehingga memberikan tafsiran ilmu yang salah.

Sebab itulah dalam Islam ada mengatakan, seseorang yang belajar tanpa guru itu menjurus ke arah berguru dengan syaitan.

Apabila syaitan menyesatkan manusia yang dalam pencarian ilmunya, manusia itu boleh menjadi 'isim'.

Isim dapat disifatkan sebagai gangguan mental akibat rasa tertekan semasa menuntut ilmu:

Terdapat empat cara menuntut ilmu.

Pertama, ilmu dapat daripada ajaran guru.

Kedua, melalui kaedah mencuba -cuba.

Ketiga, melalui kaedah meniru atau mengikut panduan yang diberi dan.

Keempat, melalui cara berfikir tentang setiap tindakan yang telah atau akan diambil (reflection).

Dalam Sejarah Melayu ada diriwayatkan kisah raja pergi menuntut ilmu dengan seorang guru yang terkenal.

Raja datang ke rumah guru itu dengan hulubalangnya serta alat kelengkapan kebesaran.

Malangnya, raja disuruh pulang. Guru tidak mahu mengajar murid yang angkuh dan masih mementingkan taraf.

Raja hanya dibenarkan berguru sekiranya raja datang sebagai seorang 'murid biasa', tanpa segala lambang kebesaran diraja. Begitulah adab berguru, murid perlu sentiasa bersikap rendah hati dan memiliki niat yang ikhlas serta suci.

Raja Ali Haji ada menyenaraikan lima syarat yang mesti dipenuhi murid dalam menuntut ilmu.


Kemahuan, kehendak dan keinginan yang kuat pada hati untuk mendapat ilmu.


Kerja mengulang, menderas atau membaca kembali apa yang telah dipelajari.


Menghafal supaya hadir dalam ingatan dan dapat mengeluarkan kembali ketika menghendakinya.


Berbincang dan menyebut-nyebut apa yang telah dipelajari dengan teman-teman supaya ingat dan faham apa yang telah dipelajari.


Kerja meneliti, mempelajari semula, memikirkan makna dan maksud ilmu yang dipelajari. Sekiranya ada kekeliruan dan kurang faham, harus bertanya.

Dahulu, kita sentiasa mendengar cerita bahawa seorang guru tidak akan mengajar kesemua pengetahuan yang dimilikinya.

Kalau guru ada 10 ilmu, misalnya, dia hanya memberikan sembilan. Kononnya, satu ilmu yang tinggal itu amat berguna sekiranya murid itu menentang guru kemudian hari.

Sekiranya guru memberikan kesemua ilmunya, murid itu mungkin akan menewaskannya suatu hari nanti.

Sebenarnya, cerita-cerita sedemikian hanyalah sekadar 'gertak' untuk menakut-nakutkan murid supaya tidak menentang guru sendiri suatu hari nanti.

Dalam fikiran murid pasti akan sentiasa berfikir bahawa si guru tetap 'lebih' ilmunya.

Padahal, 'satu' ilmu yang tidak diajar guru itu sememangnya tidak boleh diajar.

Ilmu itu harus didapatkan sendiri oleh sesiapa sahaja melalui pengalaman dan hati yang terang serta ikhlas.

Filem animasi Kung Fu Panda dapat menjelaskan hal ini. Ilmu yang terakhir dan menjadi legenda rahsia, sebenarnya tidak ada apa-apa.

Murid yang harus mencarinya dengan menggunakan akal yang telah dianugerahi.

Sekiranya si murid berjaya menemui hakikat ilmu sebenar, barulah layak dia pula menjadi pelapis guru dan menyebarkan ilmunya kepada murid-muridnya.

Kalau berguru, biarlah dengan orang yang tahu, bukannya orang yang langsung tidak tahu menahu. Siapa guru, amat penting dalam mencorakkan pemikiran dan perlakuan anak-anak kita.

Justeru sebagai pemegang gelaran 'guru', guru harus sedar bahawa pada ketika yang sama mereka adalah seorang pelajar.

Guru perlu sentiasa belajar untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahirannya bagi menjadi pendidik yang profesional untuk mencapai matlamat pendidikan bertaraf dunia.

Kesimpulannya, guru yang sebenar perlu mempunyai ilmu, amal, akal, sabar dan bual supaya ilmu itu dapat dijadikan bekal warisan ke anak cucu.


mohon petik sepenuhnya dari : http://mahligai.fotopages.com

Followers