Pesan seorang Guru :

"Jika sekadar sampai pada kulit sahaja tanpa "roh" silat yang sejati ia tidak layak menerima warisan pusaka. Jika diterima juga ia dianggap perampas kerana tidak mempunyai peribadi amanah. Bila sudah ada amanah dan peribadi keimanan yang sejati barulah ia layak menjadi GURU. Jika tidak maka guru itu ibarat kencing berdiri, murid kencing berlari. Pelajar dengan guru demikian bermakna seseorang itu akan menjadi bertambah jahat, bongkak dan sombong. Sebaliknya guru yang sebenar guru (murshid) mempunyai telatah dan peribadi yang tinggi, boleh memimpin ke jalan yang diredhai Allah".

Saturday, July 10, 2010

Guru – Adab dan Batasannya

(dipetik keseluruhannya dari blog suarajagat)

Guru, cikgu, ustaz, ustazah, pensyarah…dan beberapa panggilan sinonim lain yang semuanya menjurus kepada warga pendidik atau tenaga pengajar. Jasa dan bakti mereka tidak dapat kita nafikan. Mengimbas zaman persekolahan, saya masih terkenang kemesraan para cikgu yang senantiasa memberi dorongan dan tunjuk ajar tanpa mengira jemu. Sehingga hari ini adakalanya penulis mencari mereka – setidak-tidaknya untuk bertemu, bertanya khabar dan untuk mereka melihat insan yang pernah di didik. Mengagumkan penulis bila ramai di kalangan mereka mengingati nama saya walhal penulis sendiri kerap terlupa akan nama mereka.

Memasuki alam universiti dan seterusnya bekerja, penulis banyak meluangkan masa dengan para ustaz dan pensyarah agama. Pastinya ini menambahkan lagi minat dan kefahaman saya dalam urusan agama dan dakwah. Akhlak para ustaz ini secara tidak langsung sedikit sebanyak membentuk peribadi saya. Dalam penulisan ini, penulis akan memberi beberapa point berkaitan akhlak yang wajar ada pada seorang guru, tenaga pengajar, pendidik dan da’ei (pendakwah). Tidak ketinggalan juga akan adab dan akhlak murid/ pelajar serta batasannya.

Sidang pembaca sekalian,

Terdapat beberapa sikap dan akhlak yang perlu ada pada seorang guru. Akhlak yang paling utama ingin ditegaskan oleh penulis ialah sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatona. Sifat akhlak Rasulullah s.a.w ini amat penting untuk dihayati. Dalam memberi tunjuk ajar, ada ketikanya terdapat perkara yang di luar batas ilmu kita, oleh itu jika seorang guru tidak tahu akan jawapannya, usah sesekali‘menghentam' jawapan. Perlakuan sebegini akan merosakkan pelajar, membuka kepada keegoan diri sendiri dan boleh membawa kepada syirik. Perlu diingat bahawa tidak ada seorang guru pun di dunia ini yang mengetahui semua perkara. Adalah amat penting untuk seorang guru bersikap merendah diri, ikhlas dalam memberi ilmu dan bersikap adil terhadap pelajarnya.

Seorang yang digelar guru dan merasakan dirinya alim atau berlakon seolah-olah alim atau bermegah dengan gelarannya tidak boleh dianggap sebagai ‘sebenar-benar guru’ kerana sifat riak dan takbur amat berlawanan dengan sifat ikhlas, siddiq dan amanah. Selain itu, sebenar-benar guru juga mestilah menjadi contoh kepada muridnya dan tidak diragui atau dipertikai akan perlakuannya.

Guru juga mestilah menepati masa, tidak menyeleweng dan menentukan batas kefahaman pelajarnya. Ajarlah dengan cara yang mudah difahami oleh pelajar/ murid. Jadikan mereka insan yang berguna dan berperibadi mulia.

Seorang pelajar pula hendaklah sentiasa menghormati guru kerana guru adalah insan yang penting selepas ibu dan bapa. Antara adab/akhlak berguru ialah :-

  • memberi salam kepada guru.
  • bercakap dengan sopan.
  • berpakaian bersih.
  • berlapang dada menerima teguran.
  • mengucapkan terima kasih.
  • berdoa untuk gurunya.

Dalam pada itu, menghormati guru ini ada juga batasannya. Janganlah menghormati secara membuta tuli sehingga arahan/suruhan yang bertentangan dengan syariat diikuti. Terdapat ramai guru ajaran sesat terutama mempergunakan nama tarekat yang seringkali menyuruh muridnya melakukan perbuatan tercela sehinggakan perbuatan maksiat menyerahkan kehormatan diri kepada guru di anggap satu penyucian dosa. Perkara sebegini amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Adab berguru pasti ada hikmahnya. Namun batasannya jangan pula dilupakan. Akhir bicara, SJ mengucapkan Selamat Hari Guru khususnya buat guru-guru yang telah mendidik dan memberi ingat serta nasihat buat diri ini. Terima kasih cikgu. Jasa dan pengorbanan kalian menjadikan diriku insan berguna. Tidak lupa buat semua kenalan, kawan dan sahabat di alam perguruan. Tahniah!!

No comments:

Post a Comment

Followers