Pesan seorang Guru :

"Jika sekadar sampai pada kulit sahaja tanpa "roh" silat yang sejati ia tidak layak menerima warisan pusaka. Jika diterima juga ia dianggap perampas kerana tidak mempunyai peribadi amanah. Bila sudah ada amanah dan peribadi keimanan yang sejati barulah ia layak menjadi GURU. Jika tidak maka guru itu ibarat kencing berdiri, murid kencing berlari. Pelajar dengan guru demikian bermakna seseorang itu akan menjadi bertambah jahat, bongkak dan sombong. Sebaliknya guru yang sebenar guru (murshid) mempunyai telatah dan peribadi yang tinggi, boleh memimpin ke jalan yang diredhai Allah".

Monday, May 3, 2010

adab berguru

ORANG Melayu dahulu begitu menekankan ajaran adab berguru, supaya anak taat dan beradab kepada guru serta orang yang lebih tua daripadanya.

Ini jelas terbayang dalam ungkapan berikut:

Kalau anak muda hendak menakah, ikutlah petunjuk ingatlah amanah,

Kalau anak muda ingin terbilang, ingat-ingatlah nasihat orang

Kalau anak muda ingin terpuji, duduk berguru tegak mengaji

Kalau anak muda ingin terpandang, menuntut ilmu jangan kepalang

Kalau anak muda ingin terhormat, tekun belajar luruskan niat

Kedudukan seorang guru dianggap mulia sehinggakan ibu bapa pasrah dan rela guru memukul anak mereka, asalkan anak mereka berupaya meraih manfaat ilmu daripada guru.

Adab berguru dahulu, semasa permulaan mahu mendapatkan khidmat guru, ibu bapa akan memberi semacam 'hadiah' kepada guru sebagai syarat.

Sebagai contoh, ada hadiah berbentuk kain atau pakaian dan ada juga yang memberi hadiah Al-Quran dan rotan.

Ada juga yang memasakkan pulut kuning dan ayam jantan.

Biasanya isi ayam jantan akan dimakan oleh murid di hadapan guru. Rasionalnya, seorang guru dapat 'membaca' isi hati, niat dan perilaku bakal muridnya, hanya dengan melihat cara murid itu makan.

Ada juga adab berguru dalam perguruan silat yang memberi 'hadiah' kepada guru hanya selepas tamat berguru.

Apa pun hadiah yang diberikan adalah sebagai syarat menyatakan keikhlasan dan keredaan ibu bapa yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada guru.

Guru adalah orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu.

Seorang guru adalah manusia yang berilmu, berfikiran jauh, matang dan menggunakan kepakarannya untuk membimbing orang lain. Perkataan 'guru' diambil daripada perkataan Sanskrit. 'gu' bererti 'kegelapan' dan 'ru' pula bererti 'cahaya'.

Justeru tugas guru adalah untuk 'menerangkan kekaburan' pelajarnya.

Tugas guru sebagai penyuluh jalan yang gelap, haruslah membimbing pelajar yang tidak faham dan tidak tahu, supaya tahu dan faham.

Elok parang kerana berhulu

Elok hulu kerana tergenggam

Elok orang kerana berilmu

Elok ilmu kerana berfaham

Ada pujangga yang mengatakan, 'ilmu itu di mulut guru'.

Frasa ini memberi maksud bahawa guru tetap 'relevan' dalam proses menuntut ilmu.

Menuntut ilmu tanpa guru pula boleh menyebabkan seseorang itu menjadi hilang pedoman sehingga memberikan tafsiran ilmu yang salah.

Sebab itulah dalam Islam ada mengatakan, seseorang yang belajar tanpa guru itu menjurus ke arah berguru dengan syaitan.

Apabila syaitan menyesatkan manusia yang dalam pencarian ilmunya, manusia itu boleh menjadi 'isim'.

Isim dapat disifatkan sebagai gangguan mental akibat rasa tertekan semasa menuntut ilmu:

Terdapat empat cara menuntut ilmu.

Pertama, ilmu dapat daripada ajaran guru.

Kedua, melalui kaedah mencuba -cuba.

Ketiga, melalui kaedah meniru atau mengikut panduan yang diberi dan.

Keempat, melalui cara berfikir tentang setiap tindakan yang telah atau akan diambil (reflection).

Dalam Sejarah Melayu ada diriwayatkan kisah raja pergi menuntut ilmu dengan seorang guru yang terkenal.

Raja datang ke rumah guru itu dengan hulubalangnya serta alat kelengkapan kebesaran.

Malangnya, raja disuruh pulang. Guru tidak mahu mengajar murid yang angkuh dan masih mementingkan taraf.

Raja hanya dibenarkan berguru sekiranya raja datang sebagai seorang 'murid biasa', tanpa segala lambang kebesaran diraja. Begitulah adab berguru, murid perlu sentiasa bersikap rendah hati dan memiliki niat yang ikhlas serta suci.

Raja Ali Haji ada menyenaraikan lima syarat yang mesti dipenuhi murid dalam menuntut ilmu.


Kemahuan, kehendak dan keinginan yang kuat pada hati untuk mendapat ilmu.


Kerja mengulang, menderas atau membaca kembali apa yang telah dipelajari.


Menghafal supaya hadir dalam ingatan dan dapat mengeluarkan kembali ketika menghendakinya.


Berbincang dan menyebut-nyebut apa yang telah dipelajari dengan teman-teman supaya ingat dan faham apa yang telah dipelajari.


Kerja meneliti, mempelajari semula, memikirkan makna dan maksud ilmu yang dipelajari. Sekiranya ada kekeliruan dan kurang faham, harus bertanya.

Dahulu, kita sentiasa mendengar cerita bahawa seorang guru tidak akan mengajar kesemua pengetahuan yang dimilikinya.

Kalau guru ada 10 ilmu, misalnya, dia hanya memberikan sembilan. Kononnya, satu ilmu yang tinggal itu amat berguna sekiranya murid itu menentang guru kemudian hari.

Sekiranya guru memberikan kesemua ilmunya, murid itu mungkin akan menewaskannya suatu hari nanti.

Sebenarnya, cerita-cerita sedemikian hanyalah sekadar 'gertak' untuk menakut-nakutkan murid supaya tidak menentang guru sendiri suatu hari nanti.

Dalam fikiran murid pasti akan sentiasa berfikir bahawa si guru tetap 'lebih' ilmunya.

Padahal, 'satu' ilmu yang tidak diajar guru itu sememangnya tidak boleh diajar.

Ilmu itu harus didapatkan sendiri oleh sesiapa sahaja melalui pengalaman dan hati yang terang serta ikhlas.

Filem animasi Kung Fu Panda dapat menjelaskan hal ini. Ilmu yang terakhir dan menjadi legenda rahsia, sebenarnya tidak ada apa-apa.

Murid yang harus mencarinya dengan menggunakan akal yang telah dianugerahi.

Sekiranya si murid berjaya menemui hakikat ilmu sebenar, barulah layak dia pula menjadi pelapis guru dan menyebarkan ilmunya kepada murid-muridnya.

Kalau berguru, biarlah dengan orang yang tahu, bukannya orang yang langsung tidak tahu menahu. Siapa guru, amat penting dalam mencorakkan pemikiran dan perlakuan anak-anak kita.

Justeru sebagai pemegang gelaran 'guru', guru harus sedar bahawa pada ketika yang sama mereka adalah seorang pelajar.

Guru perlu sentiasa belajar untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahirannya bagi menjadi pendidik yang profesional untuk mencapai matlamat pendidikan bertaraf dunia.

Kesimpulannya, guru yang sebenar perlu mempunyai ilmu, amal, akal, sabar dan bual supaya ilmu itu dapat dijadikan bekal warisan ke anak cucu.


mohon petik sepenuhnya dari : http://mahligai.fotopages.com

No comments:

Post a Comment

Followers